Jurutera Awam, Pemilik Syarikat Antara Enam Ditahan Bantu Siasatan Rasuah

04/02/2025 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat kerana disyaki memberi rasuah bagi memonopoli kesemua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah di Sarawak.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 70-an itu ditahan pada 7 pagi hingga 12 tengah hari di beberapa lokasi di sekitar Sarawak dalam satu operasi khas yang dijalankan hari ini.

“Siasatan awal mendapati perbuatan itu dilakukan sejak 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisen hingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.

“Pada masa sama, jurutera awam tersebut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan,” katanya.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. 

Menurut beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri, Sibu dan Kuching untuk permohonan reman, esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan