KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kenderaan barangan ingkar terhadap tempoh larangan pemanduan dan penyalahgunaan dadah antara kesalahan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 bermula 20 Jan hingga semalam (9 Feb).
Dalam operasi selama 21 hari itu, JPJ turut mengesan pelbagai kesalahan lain melibatkan motosikal, bas tanpa pemandu kedua, pemandu bas yang positif dadah dan kesalahan teknikal seperti tayar haus serta cermin retak.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusuf berkata sebanyak 12,138 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah tersebut 2,508 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi itu.
Beliau berkata sebanyak 13 kenderaan barangan ditahan sepanjang tempoh larangan pemanduan dan daripada jumlah itu, 57 saman dikeluarkan kepada pemandu yang ingkar manakala dua pemandu bas dikenakan tindakan selepas gagal ujian urin.
Selain itu, JPJ Negeri Sembilan juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas penunggang motosikal dan dalam tempoh itu sebanyak 4,205 motosikal diperiksa dengan 725 diambil tindakan manakala 1,863 dikenakan saman dan 20 disita.
Di PERLIS, sejumlah 1,609 kenderaan diambil tindakan dan 2,757 notis dikeluarkan JPJ negeri atas pelbagai kesalahan susulan pemeriksaan terhadap 14,555 kenderaan sepanjang operasi.
Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi berkata 319 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan daripada 2,468 kenderaan barangan yang diperiksa semasa tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan (Road-Ban) pada 27 hingga 28 Jan dan 1 hingga 2 Feb lepas.
"Sebanyak 357 bas ekspres di terminal utama turut diperiksa dengan dua bas dikenakan tindakan atas kesalahan tayar haus dan cermin retak serta ujian saringan air kencing ke atas 30 pemandu bas mendapati seorang positif dadah, menyebabkan lesen memandunya ditahan serta tidak dibenarkan meneruskan perjalanan," katanya.
Di PULAU PINANG, Pengarah JPJ Negeri Zulkifly Ismail berkata secara keseluruhan 31,122 diperiksa dengan 4,105 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops TBC 2025.
Beliau berkata 48 kenderaan termasuk 25 motosikal diikuti kenderaan barangan (18), kereta dan van (4) dan sebuah kenderaan perkhidmatan awam.
“JPJ turut mengambil tindakan terhadap 62 kes melibatkan bas persiaran dan bas ekspres atas kesalahan tiada pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh melebihi 300 kilometer (km) atau empat jam berterusan sepanjang pelaksanaan Ops TBC 2025,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan sebanyak 107,014 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 429,423 kenderaan dengan 724 kenderaan disita dalam tempoh tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial