Lelaki Mengamuk Ketika Operasi Di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang Didapati Positif Dadah

10/02/2025 06:07 PM

BUKIT MERTAJAM, 10 Feb (Bernama) -- Lelaki yang ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang tugas penjawat awam ketika operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi didapati berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kira-kira 10 malam, polis bersama JPJ, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Pulau Pinang yang menjalankan operasi bersepadu di laluan motosikal menghala ke Pulau Pinang berhampiran Tol Jambatan Pulau Pinang telah menahan lelaki menaiki sebuah motosikal.

“Hasil semakan mendapati cukai jalan dan insurans motosikalnya telah tamat tempoh pada 14 Dis 2024. Semasa proses untuk keluarkan saman dan sitaan motosikal oleh pihak JPJ, lelaki itu telah mengeluarkan perkataan kesat dan menghalang JPJ menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis telah menahan lelaki itu kerana menghalang tugas dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam.

Helmi berkata lelaki berusia 50 tahun itu kini direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, media melaporkan tindakan seorang penunggang motosikal yang mengamuk sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pihak berkuasa membawa padah apabila dia ditahan polis ketika Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Jambatan Pulau Pinang, malam tadi.

Lelaki itu yang menunggang bersama teman wanitanya seorang warga Indonesia pada mulanya disaman JPJ atas kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada insurans.

Berikutan kesalahan itu, anggota penguat kuasa memaklumkan motosikalnya akan disita menyebabkan dia tiba-tiba naik angin hingga berlaku kekecohan dan situasi tegang itu berlarutan lebih setengah jam sebelum dia ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan