Kes Bunuh Peniaga Wanita: Nelayan Kesal Tidak Halang Norshamira Jumpa Suspek

16/02/2025 05:56 PM

KUANTAN, 16 Feb (Bernama) - Seorang nelayan terkilan kerana tidak menghalang mangsa kes pembunuhan peniaga wanita ketika sedang menghantar barang niaga kepada suspek di  tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada malam Rabu lepas.

Nelayan yang hanya mahu dikenali Mohamad, 40, berkata dia yang sedang minum di sebuah gerai bersama rakannya ternampak mangsa keluar dari kereta menuju ke penghujung jalan jeti berkenaan sekitar pukul 8 malam.

Mohamad berkata dia bersama rakannya menegur mangsa supaya tidak pergi ke jalan itu kerana keadaan gelap dan tidak dilalui penduduk pada waktu malam, namun mangsa tetap juga pergi sebaik melihat suspek memanggilnya.

"Saya sangka mangsa kenal rapat dengan suspek sebab mangsa tetap hendak ke sana, jadi saya tidak halang dan tanya lanjut. Dia pun tidak minta teman.

"Kami tidak nampak suspek cuma kelihatan cahaya lampu telefon yang dilambai suspek kepada mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kes pembunuhan itu.

Mohamad berkata jika dia mengetahui pelanggan yang ditemui mangsa adalah suspek, dia akan bertindak menghalangnya daripada berjumpa suspek.

"Kalau saya tahu, memang saya tidak bagi jumpa dan akan teman mangsa kerana suspek memang dikenali penduduk sekitar sebagai bermasalah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Jailani, 50, memberitahu kebanyakan nelayan mengenali suspek yang sebelum ini pernah menetap di kawasan berkenaan.

"Tapi, kami sudah lama tak jumpa dia... Cuma dua tiga hari ini, dia datang kembali ke sini sebelum kejadian dan berlegar-legar di kawasan sekitar dan kami tidak sangka dia melakukan perbuatan itu," katanya.

Polis hari ini membawa suspek utama pembunuhan itu ke tempat kejadian menaiki sebuah kereta yang turut diiringi beberapa kereta polis kira-kira 2.30 petang dengan memakai baju lokap.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek dibawa ke lokasi untuk membantu siasatan kes pembunuhan itu.

"Suspek dibawa ke lokasi untuk siasatan lebih lanjut dan mendapatkan bahan bukti lain di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam polis menahan seorang lelaki di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada pukul 5.30 pagi dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 53 tahun itu direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini Khamis lepas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan