Sindiket Proses E-waste Haram Di Pahang Tumpas, Babitkan Rampasan RM410 Juta

17/02/2025 02:17 PM

KUANTAN, 17 Feb (Bernama) -- Pihak berkuasa berjaya menumpaskan sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) dan buangan terjadual secara haram membabitkan nilai rampasan RM410 juta dalam serbuan di dua kilang berasingan di Pekan dan Gebeng di sini, pada Sabtu.

Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kenyataan memaklumkan serbuan yang bermula 10.30 pagi itu dilakukan Batalion 7 PGA, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuantan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang di Ladang Kelapa Sawit Simpai, Pekan dan Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

“Hasil serbuan menemukan puluhan guni sisa elektronik dan buangan terjadual seperti ‘black powder’ (tembaga/nikel), lebih 670 tan perak yang belum dan sudah diproses di samping pelbagai mesin dan jentera memproses bahan pelupusan tanpa dokumen JAS.

“Anggaran nilai rampasan mencecah RM410 juta dan kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Kanun Tanah Negara. Barang rampasan diserahkan kepada JAS Kuantan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Briged Tenggara PGA memaklumkan e-waste dan sisa buangan terjadual itu dipercayai dibawa masuk dari China untuk diproses dan dijual semula ke pasaran luar negara. 

“Hasil operasi  itu juga, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara China serta Bangladesh yang menjadi penjaga kepada kilang berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

“PGA dan JAS akan terus mempergiatkan usaha melupuskan sisa elektronik dengan kaedah yang betul agar kualiti alam sekitar tidak tercemar daripada bahan yang berbahaya,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan