KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang dirampas dalam Op Hazard pada 15 Feb lepas bakal dilelong kepada syarikat yang mempunyai lesen sah di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata sebanyak 15,764.90 tan metrik sisa e-waste, dianggarkan bernilai RM55 juta disita dalam operasi itu dan pihaknya akan mengambil sampel bahan terbabit untuk dijadikan bukti di mahkamah.
“Semua bahan yang disita itu akan dipantau dan dalam masa sama sampel akan diambil sebagai bahan bukti di mahkamah sebelum dilelong,” katanya pada sidang media bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim di sini hari ini.
Wan Abdul Latiff berkata terdapat 156 Fasiliti Pemerolehan Kembali e-waste yang dilesenkan mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974), sebanyak 111 daripadanya ialah Fasiliti Pemerolehan Kembali e-waste Separa manakala baki 45 lagi terdiri Fasiliti Pemerolehan Kembali e-waste Penuh.
"Mana-mana kilang yang tiada dalam senarai yang dilesenkan dikategorikan sebagai premis haram dan tindakan boleh diambil,” katanya.
Dalam Op Hazard yang dijalankan di seluruh negara pada 15 Feb lepas, JAS memeriksa 47 kilang dan mendapati 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan satu gudang haram.
"Semua premis berkenaan disiasat di bawah AKAS 1974 (Akta 127) yang merangkumi pelbagai kesalahan, antaranya Seksyen 16, AKAS 1974 iaitu gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan; Seksyen 18 iaitu menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen JAS; Seksyen 19 iaitu gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 34A, AKAS 1974 iaitu gagal mengemukakan laporan kajian EIA dan Seksyen 34B yakni menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar,” katanya.
Wan Abdul Latiff berkata 37 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan dan 59 Notis Arahan dan 27 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Beliau berkata e-waste yang melalui proses tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan, termasuk penyakit kanser kepada individu yang tinggal berhampiran dengan kilang pemprosesan terbabit.
“Pelbagai bahan kimia boleh dilepaskan ketika proses peleburan e-waste termasuk logam berat seperti arsenik yang boleh menyebabkan penyakit kanser dan jika bahan buangan kilang haram ini tidak disimpan dengan betul, ia boleh meresap ke dalam tanah seterusnya mencemari air tanah dan sungai,” katanya.
E-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 sebagaimana dinyatakan di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Wan Abdul Latiff berkata hasil pemeriksaan dalam Op Hazard tempoh hari mendapati banyak kilang haram berkenaan tidak mempunyai sistem penapisan corong asap yang betul.
“Peralatan elektrik dan elektronik yang telah tamat tempoh hayatnya tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dilupuskan secara mesra alam di fasiliti-fasiliti yang dilesenkan oleh JAS,” katanya.
Sepanjang 2024, JAS telah menjalankan 44 pemeriksaan ke atas kilang memproses e-waste secara haram dengan lapan daripadanya diarahkan untuk tutup manakala bakinya sedang dalam tindakan undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial