PGA Sarawak Tumpas Aktiviti Pembalakan Haram Libat Rampasan RM3.2 Juta

20/02/2025 05:29 PM

KUCHING, 20 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menumpaskan aktiviti pembalakan haram melibatkan rampasan bernilai lebih RM3.2 juta menerusi Op Taring Libas, semalam.

Komander Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam operasi pada 9.30 pagi itu, pasukan PGA menyerbu dan memeriksa sebuah lokasi di Saratok yang disyaki dijadikan tempat aktiviti pembalakan haram itu.

"Tiga lelaki warga tempatan berumur antara 36 hingga 56 tahun ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan 85 kayu balak pelbagai jenis di situ.

“Turut dirampas enam kenderaan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan rampasan RM3,223,000," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.  

Beliau berkata tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Bahagian Sri Aman untuk siasatan lanjut di bawah Kesalahan Ordinan Jabatan Hutan Negeri Sarawak 2015.

Selain itu, Che Ghazali berkata serbuan menerusi Op Taring Bravo 3 pula dilakukan di dua premis di Padawan dan Kota Samarahan kerana disyaki dijadikan tempat menyimpan dan mengimport produk ternakan tanpa permit yang sah.

Beliau berkata pihaknya menahan dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan berumur antara 23 hingga 55 tahun selain pemeriksaan juga menemukan 36,178 kilogram daging ayam serta lembu sejuk beku di premis terbabit.

“Turut dirampas dua kontena dan tiga kenderaan pelbagai jenis dengan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM1,602,500 mengikut harga pasaran," katanya.

Beliau berkata kes diserahkan kepada pihak Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 9 (1)(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan