Saksi Pembelaan Gagal Dikesan, Perbicaraan Kes 1MDB Najib Ditangguh

20/02/2025 06:58 PM

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan kerana saksi yang akan dipanggil memberikan keterangan, gagal dikesan.

Peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memberitahu Hakim Datuk Collin Larence Sequerah bahawa pihak pembelaan telah memasukkan Brian Chia Hock Gee, seorang bekas rakan kongsi di firma guaman Wong & Partners sebagai saksi pembelaan ke-10.

Wong & Partners adalah bekas firma guaman yang menasihati  1MDB.

“Chia pada asalnya berada dalam senarai saksi pendakwaan dan telah memberikan keterangan. Namun beliau tidak pernah dipanggil untuk memberikan keterengan semasa kes pendakwaan, tetapi ditawarkan kepada pihak kami sebagai saksi.

“Sejak Januari tahun ini, kami cuba menghubungi saksi ini tetapi gagal, dan kami juga meminta bantuan daripada pihak pendakwaan yang memaklumkan kepada kami (pihak pembelaan) bahawa mereka juga tidak dapat menghubungi atau menjejakinya,” kata Wan Azwan Aiman.

Menurut Wan Azwan Aiman lagi, pihaknya juga telah menghubungi dan bercakap dengan peguam lain, namun mereka juga tidak tahu di mana beliau berada.

“Mengikut andaian kami, beliau bukan berada dalam bidang kuasa. Memandangkan Brian Chia seorang sahaja saksi yang berada dalam senarai untuk dipanggil hari ini, pihak pembelaan memohon agar perbicaraan ditangguhkan sehingga pagi esok,” katanya.

Hakim kemudiannya bertanyakan kepada Wan Azwan Aiman mengenai tindakan seterusnya sekiranya saksi itu masih tidak dapat dihubungi.

Wan Azwan Aiman berkata pihak pembelaan akan meneruskan dengan memanggil saksi lain untuk memberikan keterangan.

“Tapi, adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk mencari usaha terbaik supaya saksi itu dapat dipanggil untuk memberikan keterangan bagi pihak pembelaan,” kata Wan Azwan Aiman.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bersetuju bahawa Chia adalah saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan, dan mereka akan sedaya upaya membantu mengesannya.

Hakim kemudiannya membenarkan penangguhan prosiding sehingga pagi esok.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Najib berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan