Pesara Kerajaan Rugi RM60,000 Terpedaya Sindiket Penipuan Panggilan Telefon

20/02/2025 10:41 PM

JERTIH, 20 Feb (Bernama) -- Seorang pesara wanita di Bandar Permaisuri, Setiu kerugian RM60,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon, awal bulan ini. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata kejadian bermula apabila mangsa berusia 64 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat insurans pada 2 Feb.

“Suspek memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans di sebuah hospital di Lembah Klang dan namanya juga kononnya mempunyai satu waran tangkap atas kesalahan memiliki 23 akaun bank dalam kes penggubahan wang haram di seluruh negara.

“Warga emas itu berasa takut lalu akur terhadap segala arahan suspek dengan membuka akaun bank di sebuah bank di sini sebelum memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM60,000 ke akaun suspek menerusi lima transaksi dari 2 hingga 16 Feb lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Sani berkata setelah menyedari ditipu, wanita itu kemudian tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan