Man Tiger Didakwa Lepaskan Tembakan Terhadap Suami Isteri

21/02/2025 02:27 PM

KLUANG, 21 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki dikenali sebagai Man Tiger dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melepaskan tembakan terhadap pasangan suami isteri di Simpang Renggam di sini, minggu lepas.

Abdurrahman Abdullah, 33, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut pertuduhan, Abdurrahman bersama dua lagi rakan yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kematian itu terhadap Dian Yulandi Suboh, 37, dan Ahmad Fadhullah Mohamed, 38, di sebuah rumah di Kampung Bukit Batu, Machap, Simpang Renggam kira-kira 12.17 tengah hari, 10 Feb lepas. 

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Suniza Nan Yan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selepas mengambil kira tahap keseriusan kes. 

Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili Abdurrahman memohon kebenaran diikat jamin yang minimum atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan menjaga seorang kakak serta bapa saudara yang uzur. 

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 11 Feb lepas, media melaporkan pasangan suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu, kira-kira 12.17 tengah hari pada 10 Feb, selepas enam das tembakan dilepaskan suspek, namun tidak mengenai mereka dan tersasar ke sekitar lokasi kejadian.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata senjata api digunakan suspek dalam kejadian itu telah ditemukan menerusi satu operasi yang dijalankan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada Isnin lepas selain menahan empat rakan suspek berumur 34 hingga 41 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan