KUALA TERENGGANU, 21 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni di Lapangan Tembikai di kedudukan 77 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata pihaknya menerima maklumat daripada syarikat cari gali minyak tempatan selaku pemilik pelantar tersebut berkaitan pencerobohan itu pada 1.30 tengah hari Rabu lepas.
"Maklumat mengatakan kru operasi pelantar mengesan serta menemui tanda-tanda pelantar diceroboh serta telah melihat kelibat seseorang sedang bersembunyi di bilik janakuasa ketika membuat pemeriksaan rutin.
"KM Rawa yang sedang dalam penugasan Op IMAN diatur gerak ke lokasi dan tiba di pelantar pada Rabu, 9 malam. Namun, laut bergelora menyukarkan proses merapatkan bot ke pelantar dan petugas hanya berjaya naik pada 11.30 pagi Khamis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata hasil pemeriksaan membawa kepada tangkapan suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun yang bersembunyi di ruang ventilasi.
Beliau berkata suspek yang direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan itu, dihantar menggunakan sebuah bot ke pelantar tersebut sebelum ditinggalkan pemandu yang melarikan diri setelah menyedari kehadiran kapal yang membawa kru operasi pelantar.
Pihaknya turut merampas peralatan digunakan suspek untuk mencuri perkakas penting di pelantar tersebut berdasarkan penemuan kesan kabel yang telah dipotong dan bateri yang dilonggokkan sepanjang dua hari di situ.
Beliau berkata pihaknya masih menganggarkan nilai rampasan namun impak kecurian perkakasan berkenaan boleh menjejaskan operasi serta produksi syarikat terbabit hingga dipercayai mencecah puluhan juta ringgit sehari.
“Kita tahu platform tidak berpenghuni ini adalah untuk membantu produksi. Apabila mereka curi barang seperti panel solar, bateri dan kabel yang jadi kuasa untuk menjana sistem, maka ia akan menghentikan produksi.
"Kita percaya ini bukan kes pertama dilakukan kumpulan ini dan tidak menolak kemungkinan mereka ada kaitan dengan tiga lagi kes yang dilaporkan iaitu dua kes pada 23 Jan dan satu kes pada 7 Feb lepas. Tiga kes sebelum ini tiada tangkapan dibuat tapi Alhamdulillah, yang keempat ini kita berjaya,” katanya.
Beliau berkata tiga kes iaitu di Pulai-A, Gansar dan West Belumut A sebelum ini adalah berdekatan dengan sempadan negara jiran, namun Tembikai adalah yang paling hampir dengan perairan Kuala Terengganu sekali gus menyifatkan sindiket ini seolah-olah semakin berani.
"Pelantar tidak berpenghuni ini memang dalam pemantauan kita, namun kita juga mohon kerjasama syarikat untuk tingkatkan keselamatan di premis masing-masing sebab kita tengok kes ini banyak berlaku pada musim tengkujuh, sukar untuk kru dan bot kita capai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial