KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Sebanyak 669 penduduk terjejas dalam kejadian kebakaran melibatkan kira-kira 80 rumah setinggan jenis tidak kekal di Kampung Cempaka, Likas di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata sejumlah 139 keluarga terlibat dalam kejadian kebakaran itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Keluasan kebakaran ialah 250 meter persegi, operasi masih berjalan pada masa ini di kampung terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.41 pagi dan anggota dari BBP Lintas dibantu BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi kenyataan memaklumkan api berjaya dikawal pada 7.32 pagi, namun operasi memadam kebakaran masih berjalan.
“Sebanyak 11 anggota dari BBP Lintas dibantu 16 anggota dari BBP Kota Kinabalu bersama anggota serta pegawai bomba lain sedang melaksanakan operasi itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial