SEPANG, 5 Mac (Bernama) -- Seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sebutir peluru tanpa lesen.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan turut mengarahkan Bei Khe, 28, dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Lelaki itu membayar denda tersebut.
Pengendali forklift di AS itu, didakwa memiliki sebutir peluru jenis Rimfire tanpa lesen atau permit senjata sah pada 12.05 tengah hari 1 Mac di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206), memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain manakala Bei Khe diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.
Zaflee merayu hukuman ringan dikenakan mengambil kira anak guamnya mengaku bersalah dan telah insaf sejak berada dalam tahanan reman, selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Anak guam saya ditahan semasa sedang transit ke Yangon, Myanmar bagi melangsungkan perkahwinan pada 15 Mac ini,” katanya.
Zaflee berkata beg mengandungi peluru itu merupakan milik abang tertuduh di AS yang dipinjamnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial