Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
JEDDAH, 6 Mac (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di sini pada Khamis untuk menghadiri Sesi Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini esok.
Menteri tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada pukul 6.05 petang waktu tempatan (11.05 malam waktu Malaysia).
Sebaik tiba, Mohamad disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, dan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif.
Dalam satu kenyataan awal hari ini, Wisma Putra memaklumkan sesi tersebut akan membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza dan kebimbangan berhubung cadangan pengilhakan Gaza yang akan mengakibatkan pemindahan penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Menurut kenyataan itu, Malaysia akan menegaskan pendirian tegas negara dalam menolak sebarang usaha pengilhakan Gaza atau pemindahan paksa rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
“Mohamad juga akan menzahirkan komitmen penuh Malaysia dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza, termasuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau,” menurut kenyataan itu.
“Penyertaan Menteri Luar dalam mesyuarat ini menekankan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial