Tindakan Terhadap JMB Jika Lindungi Kegiatan Penipuan - Polis

05/03/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Polis akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana badan pengurusan bersama (JMB) jika siasatan mendapati mereka melindungi kegiatan jenayah penipuan yang kerap menggunakan premis kondominium sebagai markas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata siasatan akan turut dijalankan terhadap pemilik premis dan syarikat kawalan keselamatan di premis terbabit bagi mengekang jenayah berkenaan.

Beliau berkata ini berikutan hasil risikan yang dilakukan mendapati sesetengah syarikat kawalan keselamatan dan pihak pengurusan bangunan mengetahui kewujudan aktiviti jenayah atau aktiviti mencurigakan dalam kondominium mereka namun tidak melaporkannya atau melindunginya.

Untuk itu, beliau berkata pihaknya bercadang mengenakan Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pakat jahat jenayah terhadap mereka, yang akan membolehkan tuduhan dan hukuman seolah-olah mereka bersubahat dengan kesalahan itu .

“Saya mengulangi gesaan pemilik premis mengambil tahu dan melaksanakan KYC (ketahui pelanggan anda) sebelum membenarkan premis mereka disewa. Ada juga penyewa yang menjalan kegiatan ini yang membuat pengubahsuaian untuk kemudahan komputer dan sebagainya, ini semua perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau juga berkata langkah ini penting kerana terdapat maklumat mengatakan bahawa sindiket luar yang menjalankan kegiatan penipuan mula memindahkan operasi mereka ke negara ini berikutan penguatkuasaan ketat dan pembanterasan yang dilakukan di negara mereka.

Sementara itu, Ramli berkata polis menahan 11 warga China termasuk seorang wanita berumur antara 28 hingga 42 tahun,  dalam tiga serbuan berasingan di tiga unit kondominium di Jalan Tun Razak di sini pada 26 Feb lepas kerana disyaki menjalankan kegiatan penipuan menerusi pusat panggilan.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua sindiket berkenaan yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China, menjadikan ketiga-tiga unit kondominium itu sebagai pusat operasi sejak dua bulan hingga setahun lepas.

“Dalam serbuan pertama, tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan cabutan bertuah secara dalam talian yang menawarkan hadiah kemenangan RMB100,000. 

“Mangsa terlebih dulu perlu mendaftar melalui aplikasi QQPK dan diminta membuat tambah nilai mengikut pakej ditawarkan namun selepas pembayaran dibuat, mangsa disekat daripada mendaftar dan mengalami kerugian,” katanya.

Dalam serbuan kedua pula, dua lelaki ditahan kerana menjalankan kegiatan penipuan permainan dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram untuk mengiklankan pelbagai permainan berkaitan. 

“Mangsa yang berminat diarah membuat pembayaran menerusi matawang kripto USDT sebelum mendaftar namun selepas bayaran dilakukan, mangsa tidak lagi mempunyai akses kepada permainan yang dijanjikan,” katanya.

Dalam serbuan ketiga pula, Ramli berkata lima lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan pelaburan saham yang memberi tunjuk ajar kepada kepada mangsa menerusi penstriman langsung.

Beliau berkata sindiket itu didapati menggunakan sebuah platform dan mangsa diberikan akses kepada aplikasi Mosgram bagi menyertai penstriman langsung untuk mengetahui kononnya cara pelaburan dengan lebih terperinci.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120 (B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan