SANDAKAN, 5 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengesan aktiviti penyeludupan barang kawalan yang berlaku pada bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata kegiatan penyeludupan ini berlaku apabila terdapat permintaan dan penawaran antara pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.
"Antara barang kawalan yang diseludup keluar termasuk beras, minyak masak, gula serta barang bersubsidi seperti minyak petrol dan diesel. Aktiviti ini biasanya dilakukan pada waktu senja dan malam menggunakan bot persendirian, bot nelayan dan kapal tanker," katanya kepada Bernama.
Bagi menangani masalah itu, Muhamad Suhairy berkata APMM telah mempertingkatkan pengawasan dengan menggerakkan dua buah kapal dan empat bot untuk rondaan setiap hari bagi memastikan keselamatan di perairan Sandakan.
Beliau berkata selain rakan strategik dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), komuniti maritim dalam kalangan nelayan juga memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk melaporkan serta membuat aduan mengenai sebarang aktiviti yang mencurigakan di kawasan perairan tersebut.
Muhamad Suhairy berkata pada tahun lalu Zon Maritim Sandakan telah merekodkan nilai rampasan sebanyak RM90.32 juta yang melibatkan pelbagai kesalahan.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim di Sandakan agar sentiasa mengambil langkah keselamatan semasa berada di laut dan peka dengan maklumat cuaca terkini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Cuaca ketika ini tidak menentu dan dijangkakan keadaan ini akan berterusan sehingga hujung Mac dan awal Syawal. Saya mengingatkan komuniti maritim, terutamanya pemilik bot kecil, agar mempertimbangkan keadaan cuaca serta elemen keselamatan sebelum ke laut," katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial