KUANTAN, 6 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang akauntan dan pesara guru menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan RM414,902.67 di sini bulan lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kes pertama, akauntan wanita berusia 21 tahun itu mengalami kerugian RM240,467.61 selepas tertarik melihat iklan pelaburan di aplikasi Instagram.
Beliau berkata mangsa menerima satu pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali sebaik menekan pautan pada iklan itu, yang menerangkan mengenai skim pelaburan berkenaan.
“Wanita itu kemudiannya membuat pemindahan wang atas talian melalui bank milik syarikat dan akaun banknya sebanyak 16 kali transaksi ke lapan akaun berbeza.
“Bagaimanapun, mangsa tidak memperoleh sebarang pulangan dan membuat laporan polis apabila menyedari ditipu. Wang yang digunakan adalah wang milik mangsa dan wang syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan, Yahaya berkata seorang lelaki berusia 80 tahun kerugian RM174,435.06 selepas tertarik untuk menyertai satu pelaburan pada Oktober tahun lepas setelah menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.
“Mangsa membuat pelaburan hampir RM60,000.00 dan memantau pelaburannya menerusi satu aplikasi. Dari Oktober 2024 sehingga Februari 2025, mangsa mendapati pelaburannya meningkat sehingga USD3 juta. Mangsa meminta untuk mengeluarkan semua wang, namun dia diarahkan membayar cukai RM114,435.06.
“Mangsa kemudiannya membuat satu transaksi bayaran cukai itu ke dalam akaun yang diberikan suspek dan mula menyedari ditipu setelah didesak untuk membuat bayaran cukai lain dengan jumlah lebih besar. Wang itu adalah simpanan mangsa,” katanya.
Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial