SPRM Reman Dua Lelaki Termasuk Bekas Pegawai Khas Ahli Parlimen

07/03/2025 06:20 PM

PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk bekas pegawai khas kepada Ahli Parlimen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan bagi meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.

Sumber SPRM memaklumkan perintah reman selama empat hari bermula semalam terhadap kedua-dua lelaki itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat SPRM.

Menurut sumber kedua-dua individu berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira 9.30 malam, Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Sumber turut memaklumkan mereka dipercayai melakukan perbuatan berkenaan tahun lepas sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana Projek Mesra Rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta membabitkan pembekalan papan pintar interaktif atau Interactive Smart Board kepada beberapa sekolah di sekitar Kuala Lumpur.

“Selain itu, siasatan juga menjurus kepada aspek pembekalan bagi mengesahkan penerimaan item mengikut kuantiti dan spesifikasi oleh sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan