KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Seorang wartawan daripada portal berita yang ditahan akhir bulan lepas kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah hari ini menerbitkan artikel untuk memberikan penjelasan dan dengan tegas menyatakan beliau tidak pernah meminta rasuah.
Dalam artikel bertajuk “Bribe allegation: This is my story” yang diterbitkan oleh Malaysiakini, wartawan itu bertegas bahawa beliau ditangkap kerana menjalankan tugasnya selain menerangkan garis masa apa yang telah berlaku dalam kes terbabit.
“Untuk rekod, saya tidak meminta RM100,000 atau berunding untuk menerima RM20,000 sahaja," menurutnya dalam artikel itu.
Berkongsi kisahnya, wartawan itu berkata dia sedang menyiasat sindiket 'fly' yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang terbabit dalam memalsukan cop keluar dan masuk imigresen untuk pekerja asing.
“Sejak menulis artikel pertama mengenai sindiket baharu ini pada 19 Feb, saya tidak pernah menghubungi ejen ini untuk meminta rasuah. Ejen-ejen inilah yang berkali-kali menawarkan rasuah kepada saya,” jelasnya.
Pemberita itu berkata laporan keduanya pada 22 Feb mendedahkan penglibatan ejen Pakistan dalam sindiket itu yang membawa kepada pertemuannya dengan mereka di sebuah restoran di Kuala Lumpur.
Semasa pertemuan itu, beliau berkata mereka menawarkan RM50,000 kepadanya dan bersedia untuk membayar RM20,000 serta-merta namun dia dengan tegas menolak, menjelaskan bahawa dia bukan untuk dijual.
Katanya selepas pertemuan itu, beliau segera pergi ke pejabat pengarah imigresen negeri untuk membincangkan kes tersebut.
"Beliau (pengarah imigresen) kemudian meminta saya untuk berhubung semula dengan ejen bagi membantu mengumpul bukti yang lebih kukuh. Saya bersetuju untuk bertindak sebagai ‘ejen penyamaran’ untuknya,” jelasnya.
Menurut wartawan itu, seorang daripada ejen Pakistan menghubunginya semula pada 27 Feb bagi 'menyelesaikan' perkara tersebut, yang kemudian suatu pertemuan diatur di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 Feb dan perkara itu turut dimaklumkan kepada pengarah imigresen negeri.
“Apabila kami bertemu, ejen meminta saya memadamkan artikel mengenainya,” katanya sambil menambah bahawa dia enggan dan berpura-pura berminat untuk “bekerjasama” serta cuba memujuknya untuk memberikan sesuatu yang boleh digunakan sebagai bukti.
“Sebaliknya, dia (ejen) menyerahkan saya sampul surat yang saya percaya mengandungi wang, sebagai rasuah. Terkejut, saya mengambilnya sebagai bukti untuk diserahkan kepada pengarah imigresen negeri.
“Dalam beberapa saat, sekumpulan pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berada di hadapan saya,” katanya.
Wartawan itu mengakui bahawa dia tidak memaklumkan kepada pihak atasannya tentang pertemuan itu dan beberapa pertemuan lain dalam usaha mendedahkan sindiket terbabit kerana bimbang mereka menghalangnya atas sebab risiko.
Sementara itu, Malaysiakini memaklumkan pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan dan telah menubuhkan panel bebas terdiri daripada barisan pakar untuk memastikan proses siasatan yang adil serta berjanji untuk mendedahkan hasil dapatan itu kepada umum.
“Sementara menunggu dapatan panel bebas, Malaysiakini telah menggantung tugas wartawan berkenaan,” menurut portal berita itu, sambil menyatakan pemberita itu merupakan seorang wartawan yang cemerlang dan menghasilkan banyak eksklusif yang menjadi tajuk utama.
Menurut Malaysiakini, pihaknya itu kekal teguh dengan komitmennya terhadap integriti kewartawanan, ketelusan dan pelaporan beretika - prinsip yang menjadi amalan portal berita itu sejak penubuhannya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata wartawan itu dibebaskan pada Selasa selepas remannya tamat.
Wartawan itu disiasat atas dakwaan terlibat dalam rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial