KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) telah membuat laporan polis terhadap seorang bekas ahli parlimen atas dakwaan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Laporan polis berkenaan dibuat oleh Setiausaha SGGMSR Mejar (B) Razali Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 3 petang tadi.
Razali mendakwa bekas ahli parlimen itu telah memfitnah Perdana Menteri dengan menuduh Anwar mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga membawa kepada penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta.
"Selain itu, beliau turut memfitnah kerajaan dengan mendakwa SPRM digunakan sebagai alat untuk mengugut ahli Parlimen yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
"Kami berharap pihak polis segera menjalankan siasatan kerana fitnah seperti ini boleh mencetuskan persepsi negatif serta mencemarkan imej kerajaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.
Razali turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menghubungi syarikat media sosial yang terlibat untuk menurunkan kandungan berkenaan, yang menurutnya telah ditonton lebih 500,000 kali setakat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial