Ketumbuhan Pecah Punca Penghuni Pusat Koreksional Maut

09/03/2025 05:21 PM

 KANGAR, 9 Mac (Bernama) -- Penghuni Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Malaysia di Arau yang meninggal dunia Jumaat lepas didapati mempunyai ketumbuhan dalam organ hatinya yang pecah dan menyebabkan pendarahan. 

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata pakar patologi berpendapat punca kematian lelaki berusia 23 tahun itu adalah disebabkan ketumbuhan yang pecah tersebut.

“Pakar patologi juga berpendapat ketumbuhan yang pecah itu juga tidak mustahil disebabkan lelaki ini jatuh manakala corak kecederaan yang terdapat pada tubuhnya tidak kelihatan seperti satu tindakan penderaan.

“Namun pemeriksaan lanjut diperlukan bagi mengenal pasti jenis ketumbuhan yang pecah tersebut. Sampel ketumbuhan dan DNA (asid deoksiribonukleik) lelaki ini telah dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang bagi mendapatkan laporan toksikologi,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan lelaki yang merupakan tahanan reman bagi kes dadah di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas dipercayai terjatuh di bilik air pada 6 Mac lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan