Nahas Persimpangan Lampu Isyarat: Seorang Lagi Mangsa Meninggal Dunia

10/03/2025 11:09 PM

SEREMBAN, 10 Mac (Bernama) -- Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini pada Khamis lepas disahkan meninggal dunia malam ini. 

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata mangsa yang berusia 17 tahun itu meninggal dunia pada 7.23 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini sejak 6 Mac lepas.

“Mangsa adalah penunggang motosikal jenis Honda Vario yang dinaiki bersama rakan lelakinya berusia 13 tahun yang juga parah dan masih dirawat di hospital sama.

“Dua lagi yang terlibat dan dirawat di hospital itu ialah pemandu dan penumpang Honda Jazz masing-masing berumur 18 dan 17 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Heights.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah dan melanggar motosikal Modenas Kriss dinaiki kedua-dua pelajar berkenaan serta motosikal Honda Vario yang dinaiki mangsa dan seorang lagi rakannya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan