Kemuka Tuntutan Palsu, Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan Didenda RM45,000

11/03/2025 02:24 PM

MELAKA, 11 Mac (Bernama) -- Seorang Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, empat tahun lepas.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas Norrul Huda Marsidin, 42, serta menetapkan hukuman penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen invois milik FIS Gemilang Enterprise bertarikh 22 Nov 2021 bagi perkhidmatan pembekalan makan dan minum untuk dua program di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka berjumlah RM6,640.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka, Wisma Persekutuan, Melaka Tengah pada November 2021.

Norrul Huda didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan sebagai pengajaran terhadap tertuduh yang merupakan seorang penjawat awam selain mengambil kira kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh Azrul Zulkifli Stork merayu agar hukuman denda tanpa penjara dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menyara ibu yang uzur selain tertuduh menghidap penyakit ‘anxiety disorder’ dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM15,000 serta lima bulan penjara jika gagal bayar denda bagi setiap pertuduhan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan