KOTA BHARU, 25 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan lebih 90,000 batang rokok dalam serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Bunut Susu, Pasir Mas di sini menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, Khamis lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat 82,600 batang rokok putih dan 9,240 batang rokok kretek di dalam van terletak di pekarangan rumah berkenaan.
Beliau berkata seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun turut ditahan dalam serbuan pada 6.30 petang itu.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM252,000 termasuk van. Rokok-rokok berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam satu operasi bersepadu bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Nik Ros Azhan berkata sebanyak 1,258 peket minyak masak telah dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Ara, Pasir Mas pada Jumaat.
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan minyak masak yang disembunyikan di dalam kenderaan diletakkan di sebelah rumah berkenaan.
“Minyak masak ini disyaki untuk diseludup ke Thailand. Anggaran nilai rampasan bernilai RM33,000 termasuk kenderaan,” katanya.
Beliau berkata hasil rampasan diserahkan kepada KPDN Kelantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial