PUTRAJAYA, 27 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu kerana disyaki mengemukakan butir matan palsu kira-kira RM8.1 juta, melibatkan penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti serta pelupusan sampah.
Menurut sumber, bekas pemilik syarikat dan bekas ketua pegawai kewangan berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan kira-kira 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat rasuah dan pengubahan wang haram bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin serta fasiliti antara 2019 hingga 2021.
“Selain itu, siasatan juga memfokuskan kepada tuntutan perkhidmatan pelupusan sampah yang telah berlaku pada Januari hingga Oktober 2022 dan juga penerimaan wang rasuah,” katanya.
Menurut sumber, SPRM juga sedang mengenal pasti kesalahan jenayah lain di bawah Kanun Keseksaan serta kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.
Menerusi Op Flora yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 11 premis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan semalam, SPRM membekukan 76 akaun bank yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM1.68 juta.
Sumber memaklumkan kedua-dua individu itu kini direman sehari selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial