Labuan FSA Hasrat Jalin Kerjasama Strategik Dengan SPRM

27/05/2025 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam aktiviti berkaitan pencegahan rasuah.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan hasrat itu dinyatakan Ketua Pengarah FSA Affendi Rashdi ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya semalam.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, Labuan FSA turut menyatakan hasrat memohon penempatan pengawai SPRM sebagai ketua unit integriti.

“Pihak SPRM menyatakan penghargaan atas kesudian pihak Labuan FSA berkunjung ke SPRM dan menyambut baik hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan SPRM,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abd Rahman Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan (FIED) BNM Mohd Fuad Arshad.

Affendi  dilantik sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan BNM selain menerajui hala tuju strategik dan operasi sektor Perkhidmatan Perkongsian Berpusat bagi memperkukuh prestasi institusi serta penyampaian perkhidmatan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan