Lelaki Warga Asing Maut Ditikam, Lima Rakan Senegara Ditahan

08/06/2025 03:46 PM

KLUANG, 8 Jun (Bernama) -- Polis menahan lima warga asing bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang maut ditikam di ladang sawit New Paloh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kesemua lelaki Indonesia yang berusia antara 21 hingga 31 tahun itu ditahan sekitar Paloh kira-kira 1 pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya menerima makluman pada 9.36 pagi semalam berhubung seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini akibat tikaman di dada kiri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang dan anggota Balai Polis Paloh menahan lima suspek di sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati kesemua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing ke atas mereka adalah negatif.

Bahrin berkata kelima-lima suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7766822,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan