KOTA BHARU, 18 Jun (Bernama) -- Melakukan penyamaran dengan memakai kain batik dan kain pelekat antara taktik digunakan anggota polis bagi memberkas individu yang menceroboh masuk sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Langkah berkenaan ternyata berkesan apabila sebanyak 37 individu ditahan menerusi 30 kes sejak sambutan Aidiladha baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penyamaran dengan berpakaian seperti orang kampung itu dilakukan bagi mengaburi mata suspek yang masuk melalui “laluan tikus”.
“Kalau pakai seragam, mereka boleh lari dulu. Jadi kita tukar pendekatan, pakai baju biasa, berkain pelekat. Tujuannya untuk terus tangkap, bukan sekadar cegah.
“Kawasan sempadan sepanjang 136 kilometer (km) itu terlalu luas untuk dipantau dengan kekuatan anggota sedia ada, lebih-lebih lagi apabila kawasan yang dikawal Pasukan Gerakan Am hanya sekitar 50 km,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata tiada sebarang isu rasuah atau “kawtim” dalam operasi itu dan anggotanya kini diarahkan untuk menyamar dan membuat tangkapan serta-merta, terutama di kawasan “hotspot” yang dikenal pasti sering menjadi lokasi keluar masuk tanpa izin.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut menafikan berlaku penjualan minyak masak peket dari Malaysia secara terbuka di selatan negara jiran seperti yang tular baru-baru ini.
“Siasatan mendapati ia tidak benar dan adalah berita lama yang ditularkan kembali,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial