Penyelam Mengaku Tidak Salah Buat Hantaran Jelik Terhadap Nurul Izzah

20/06/2025 03:03 PM

SEPANG, 20 Jun (Bernama) -- Seorang penyelam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan memulakan hantaran komen jelik dan melampau sifatnya terhadap anak Perdana Menteri Nurul Izzah Anwar menerusi laman media sosial Facebook awal tahun ini.

Tertuduh Ruslan Mat Ali, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Ruslan secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik dan jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook Ruslan Mat Ali.

Kesemua hantaran didakwa dilakukan antara 21 Jan hingga 25 Feb lepas. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan pertama, hantaran itu dilihat pada 4 Feb lepas, kira-kira 7 pagi di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya. 

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-11, hantaran itu dilihat pada 26 Feb lepas, antara 1.51 tengah hari hingga 4.30 petang di Centre of Excellence MCMC, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan. 

Bagaimanapun, bapa tunggal itu yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung tiga anak. 

Ahmad Fuad memerintahkan Ruslan dikenakan jaminan RM10,000 dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Ruslan bagaimanapun gagal membayar wang jaminan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan