KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Insiden kesilapan penerbitan akhbar Sinar Harian membabitkan profil Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohd Khalid Ismail perlu diselesaikan dengan pendekatan konstruktif bukannya tindakan bersifat menghukum, menurut Majlis Media Malaysia (MMM).
MMM turut berpandangan pendekatan menghukum menerusi undang-undang hanya akan melemahkan kebebasan media.
“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik, bukan melalui intimidasi atau penindasan.
“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk melapor secara tepat dan beretika, adalah penting juga agar sebarang kesilapan ditangani secara membina dan dalam kerangka yang sewajarnya,” menurut MMM menerusi kenyataan dikeluarkan lembaga pengasas badan itu hari ini.
Baru-baru ini, Sinar Harian menerbitkan infografik biodata Mohd Khalid yang menyatakan beliau pernah memegang jawatan tinggi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun akhbar berkenaan telah menarik balik infografik itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dalam kes ini, MMM berkata Sinar Harian telah meminta maaf selain memohon untuk bertemu dengan KPN malah Mohd Khalid juga bersetuju hadir dalam pertemuan tersebut.
MMM berkata kesilapan, walaupun tidak diingini, boleh berlaku dalam mana-mana profesion.
“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kesilapan tersebut ditangani. Media, dalam hal ini, harus bertindak balas dengan ketelusan, rendah hati dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan,” menurut MMM.
Menurut kenyataan itu, walaupun MMM masih belum berfungsi secara rasmi, situasi itu mengukuhkan keperluan untuk mengangkat nilai-nilai asas kewartawanan yang bertanggungjawab dan kepentingan semakan fakta khususnya apabila melaporkan mengenai institusi penting negara.
“MMM komited untuk mewujudkan persekitaran media yang menghormati kebebasan bersuara dalam batas kewartawanan yang profesional, bertanggungjawab dan beretika,” menurut kenyataan itu.
MMM yang ditubuhkan di bawah Akta MMM 2025 mula berkuat kuasa pada 14 Jun lepas.
Lembaga Pengasas MMM terdiri daripada 12 anggota terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori iaitu wakil syarikat media, persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial