KLANG, 23 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengenal pasti sindiket dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing, yang dikesan giat mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial khususnya aplikasi TikTok.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata hasil risikan mendapati iklan-iklan dikendalikan satu sindiket yang sama, namun beroperasi melalui beberapa kartel atau kumpulan tertentu.
"Fokus sindiket (menyeludup pendatang asing) ini adalah di Johor dan Selangor. Johor seperti yang kita tahu ia paling hampir dengan Pulau Karimun dan Pulau Batam di sebelah sana (Indonesia).
"Kalau lihat dua atau tiga tahun lepas, kita perketat kawalan di sebelah Selat Melaka, mereka akan masuk melalui Timur. (Namun) selepas beberapa kejadian bot karam, mereka (sindiket) berpatah balik ke Selat Melaka," katanya ketika ditemui selepas melawat kapal peronda Jepun Coast Guard (JCG) MIZUHO di sini hari ini.
Beliau mengulas beberapa video yang dikesan tular di media sosial yang memaparkan tawaran aktiviti membawa masuk dan keluar beberapa warga asing melalui laluan laut secara tidak sah.
Tanpa mendedahkan jumlah atau nama sindiket terlibat, Mohd Zawawi berkata pemantauan dan risikan sentiasa dilakukan oleh Maritim Malaysia di beberapa negeri terlibat.
Beliau berkata iklan kemasukan pendatang asing bukan perkara baharu kerana sering dikesan berlaku sebelum dan selepas musim perayaan.
"Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi menangani permasalahan itu. Hotspot kita tahu, kawasan yang selalu jadi laluan keluar masuk pendatang pun sudah dikenal pasti," katanya.
Mohd Zawawi berkata hasil semakan turut mendapati promosi iklan berkenaan dilakukan di platform media sosial di luar negara dan pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengekang kegiatan terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial