Lima Individu Termasuk Tiga Pengawai Penguat Kuasa Ditahan Disyaki Subahat Daftar Pekerja Asing

25/06/2025 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk tiga pegawai penguat kuasa kerana disyaki bersubahat dalam pendaftaran pekerja asing secara tidak sah di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut sumber, dua lagi yang ditahan merupakan seorang pengurus syarikat dan seorang warga asing, dengan kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan dalam operasi yang dijalankan antara 11 pagi hingga 2.30 petang semalam di sekitar Putrajaya dan Kelantan.

“Siasatan awal mendapati tiga pegawai penguat kuasa terbabit — dua lelaki dan seorang wanita — dipercayai menerima wang rasuah antara RM50,000 hingga RM60,000 bagi setiap permohonan pendaftaran pekerja asing,” kata sumber itu.

Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan antara tahun 2020 hingga 2021.

Penahanan itu adalah hasil daripada pelaksanaan Op Putih oleh Bahagian Perisikan SPRM di Kelantan bagi membongkar kegiatan sindiket yang disyaki melibatkan beberapa pegawai JIM yang bersubahat dengan ejen warga asing dalam proses pendaftaran pekerja asing secara tidak mengikut prosedur ditetapkan,

Sumber itu berkata perbuatan berkenaan jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan sedia ada.

Menurutnya tumpuan operasi adalah bagi mengekang amalan rasuah dalam kalangan pegawai awam serta melumpuhkan rangkaian sindiket yang terbabit.

Berikutan itu, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Amin Rashidi Ramli di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

– BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan