GEORGE TOWN, 25 Jun (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pegawai kewangan sebuah syarikat perundingan kerugian RM4.17 juta selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud dalam talian baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata wanita berusia 60 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam, mengadu diperdaya sindiket berkenaan.
“Mangsa memaklumkan pada awal Mac lepas telah melihat satu iklan pelaburan saham itu di aplikasi Facebook dan menekan pautan dipaparkan.
“Selepas itu, mangsa berhubung dengan seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp yang kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata suspek menjanjikan pulangan lumayan berdasarkan jumlah modal dilaburkan dalam tempoh masa singkat, dan mangsa diminta memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan untuk mendaftar keahlian serta membuat pelaburan.
Beliau berkata mangsa telah membuat 76 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank milik syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan RM4.17 juta, antara 10 Mac hingga 13 Jun lepas sebelum menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa sedar ditipu apabila tidak dapat membuat pengeluaran keuntungan yang tertera dalam aplikasi itu, malah diminta membuat bayaran tambahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial