JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Seorang penganggur dihukum denda RM3,000 selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan mengugut seorang jurukamera yang membuat liputan pendakwaan terhadapnya.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammad Firdaus Abdullah, 50, selain turut mengarahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Muhammad Firdaus didakwa mengeluarkan ungkapan menakutkan kepada jurukamera TV3 dengan niat mendatangkan kegentaran kepada mangsa kira-kira pukul 9 pagi di Mahkamah Johor Bahru semalam.
Pendakwaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja dan menanggung seorang isteri dan tujuh anak.
Timbalan Pendakwa Raya R.Nevina memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kerana pengadu hanya menjalankan tanggungjawab sebagai jurukamera dan ugutan itu bersifat mengancam keselamatan jurugambar terbabit.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan berkata pihaknya menahan lelaki berusia 50 tahun di kawasan Bandar Baru Uda pagi tadi selepas dipercayai mengugut tiga jurugambar yang sedang membuat liputan kes samseng jalanan di pekarangan Mahkamah Johor Bahru, semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial