SIBU, 2 Julai (Bernama) -- Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah, bulan lepas.
Tie Teck Hock, 52, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,030.80 gram (g) di kaki lima sebuah premis makanan di Jalan Pedada, kira-kira 10 malam, 12 Jun lepas.
Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Oon Kork Chern.
Selain itu, Tie dan isterinya Lee Chee Fei, 45, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6,055.90g yang ditemukan di bilik stor bawah tangga sebuah rumah di Jalan Permai Jaya 9D1B1 pada 10.45 malam hari sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pasangan berkenaan turut didakwa secara bersama memiliki dadah jenis ketamin seberat 2,078.90g dan 2,022.15 nimetazepam di tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Sebelum ini, Tie dibebaskan dengan jaminan polis pada 26 Jun selepas tamat tempoh reman tujuh hari, tetapi telah ditahan semula di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Lee juga dibebaskan dengan jaminan polis pada 24 Jun selepas tamat tempoh reman empat hari tetapi turut ditahan semula di bawah akta sama.
Mahkamah menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan diberikan kepada kedua-dua tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Nuralisa Natasha Nazrulzam mewakili pihak pendakwaan manakala pasangan terbabit diwakili Peguam Reena Chong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial