BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 

Jurulatih Berbasikal Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Pelatih Bawah Umur

03/07/2025 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Seorang jurulatih berbasikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelatih berbasikal perempuan, tahun lepas.

Nor Effandy Rosli, 58, yang merupakan bekas pelumba basikal lebuh raya negara didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah, iaitu jurulatih berbasikal telah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berumur 15 tahun sembilan bulan ketika kejadian, di stor simpanan basikal di Taman Desa Keramat, di sini pada 6 petang, Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Seksyen 14 (a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 16 (1) berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kerana kesalahan itu melibatkan mangsa bawah umur selain memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Nor Effandy memohon jaminan RM5,000 kerana anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan pendapatan RM5,000 sebulan perlu menyara empat anak manakala isterinya tidak bekerja.

"Tertuduh bukan seorang yang berisiko melarikan diri kerana selepas siasatan dilakukan, dia dilepaskan dengan jaminan polis dan ketika pegawai penyiasat meminta dia hadir ke mahkamah, tertuduh hadir pada hari ini,” katanya. 

Hakim Norshila Kamarudin membenarkan Nor Effandy diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali serta dilarang mengganggu atau menghubungi mangsa yang boleh menjejaskan perjalanan kes.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan