JASIN, 3 Julai (Bernama) -- Tiga kelas dan satu bilik guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di Merlimau musnah dalam kebakaran pada awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Zaidi Ma'at berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.36 pagi dan sepasukan bomba dihantar ke lokasi.
“Kebakaran awal pagi tadi memusnahkan 80 peratus tingkat satu bangunan sekolah itu yang ketika ini sedang dalam proses pengubahsuaian sistem pendawaian.
“Kebakaran melibatkan tiga kelas dan satu bilik guru berkeluasan 80 x 60 kaki persegi, selain itu kita dapati tekanan air agak rendah di sini … jentera pertama terpaksa menggunakan sumber air daripada taman bersebelahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut melawat sekolah itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Zaidi berkata api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit dan operasi itu disertai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, BBP Jasin, BPP Padang Temu dan BPP Bukit Katil selain turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Antara cabaran utama yang dihadapi, gangguan sistem panggilan MERS 999 dan tekanan air rendah menyebabkan pasukan bomba terpaksa menarik hos sejauh 1,300 kaki.
"Tiada mangsa dilaporkan kerana kejadian berlaku sebelum sesi persekolahan bermula dan punca kejadian masih dalam siasatan, namun tiada unsur khianat dikesan setakat ini.
"Unit anjing pengesan K9 turut dipanggil untuk membantu siasatan lanjut, operasi terkawal pada 7.42 pagi dan tamat sepenuhnya 10.29 pagi,” katanya.
Sementara itu, Rahmad berkata bangunan terlibat ialah bangunan asrama lama yang telah dijadikan bilik darjah dan kini sedang dalam proses naik taraf bagi sistem pendawaian.
Beliau berkata kejadian itu juga tidak menjejaskan sesi pembelajaran, memandangkan pelajar telah ditempatkan di kelas lain.
"Pelajar juga telah dimaklumkan hari ini sekolah ditutup sehari sebagai cuti bencana," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial