Polis Siasat Insiden Tembakan, Mayat Ditinggalkan Di HSA

04/07/2025 10:20 PM

JOHOR BAHRU, 4 Julai (Bernama) -- Polis sedang menyiasat insiden tembakan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Link Kedua, Gelang Patah dekat sini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mayat lelaki yang ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata mayat dengan kesan tembakan itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, kira-kira 1.40 pagi sebelum semakan padanan cap jari mendapati mangsa berumur 42 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hospital berkenaan mendapati mangsa telah ditinggalkan oleh dua individu menaiki kereta berwarna gelap yang sedang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan mengesahkan punca kematian mangsa yang mempunyai empat rekod jenayah lampau akibat beberapa kesan tembakan di dada dan perut.

Beliau berkata terdahulu pada 12.12 tengah malam semalam, telah berlaku insiden serangan dipercayai bermotifkan samun di kawasan stesen minyak berkenaan melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang telah menyerang kumpulan lelaki lain bersenjatakan pistol, hingga menyebabkan tembakan dilepaskan. 

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah menahan tiga suspek, iaitu dua lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia 30 hingga 40 tahun di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira 7 malam hari yang sama. 

"Kita turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, buku lesen pemilikan senjata dan peluru, kelopak peluru berisi enam butir peluru bersaiz 9 milimeter, sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam serta beberapa kelongsong peluru," katanya. 

Kumar berkata seorang daripada suspek yang ditahan bekerja sebagai pengawal peribadi dan siasatan awal mendapati individu berkenaan memiliki lesen pemilikan senjata, namun siasatan lanjut berhubung status pemilikan senjata itu sedang dijalankan.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kaitan mangsa dan suspek yang terlibat dengan kedua-dua insiden berkenaan. Kita juga sedang mengesan suspek lain yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata insiden yang berlaku merupakan kes terpencil dan sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke talian Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan