Remaja Lelaki Direman Bantu Siasatan Kes Kemalangan Di Senawang

06/07/2025 06:02 PM

SEREMBAN, 6 Julai (Bernama) -- Seorang remaja lelaki direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan dua kereta hingga menyebabkan kecederaan parah di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din berkata kejadian pada 2.55 pagi itu melibatkan kereta jenis Proton Satria dipandu remaja berusia 19 tahun tersebut yang dalam perjalanan dari Senawang menghala ke Ampangan.

Beliau berkata tiba di lokasi kejadian kereta dipandu remaja itu dipercayai terbabas akibat cuba mengelak sebuah kenderaan yang berhenti secara tiba-tiba, lalu melanggar tiang lampu dan pokok sebelum memasuki jalan bertentangan serta merempuh kereta Perodua Axia dinaiki lima individu.

"Pemandu kereta Proton Satria mengalami cedera ringan manakala seorang penumpang wanita kereta Axia berusia 18 tahun cedera parah dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, sementara penumpang lain serta pemandunya cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mohammad Hatta berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Hari ini tular video berdurasi 2 minit 30 saat yang dimuat naik di Facebook memaparkan sebuah kereta terlibat kemalangan sebelum merempuh kenderaan lain di laluan bertentangan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan