Pendatang Cuba Lolos Serbuan Imigresen Nekad Terjun Dari Tingkat Dua

08/07/2025 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Sanggup terjun dari tingkat dua rumah kedai demi meloloskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa antara tindakan berani yang dilakukan pendatang tanpa izin ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melakukan beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur, malam tadi.

Perbuatan nekad yang dilakukan dua lelaki warga Bangladesh semasa serbuan di sebuah rumah kedai yang dijadikan rumah setinggan di Jalan Yew, Pudu, di ibu negara itu berjaya digagalkan walaupun mengalami kesukaran apabila seorang daripada mereka berpura-pura patah kaki.

Antara helah lain yang cuba dilakukan oleh warga asing ini ialah berlakon pengsan dan cubaan menipu anggota penguat kuasa dengan mengatakan dia dalam proses mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata warga tempatan meluahkan rasa lega dengan tindakan pihak berkuasa melakukan serbuan dan tangkapan kerana mereka bimbang kawasan perniagaan seperti  pasar Chow Kit dan Pudu semakin didominasi pendatang tanpa izin.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata sebanyak 28 anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur terlibat dalam Op Selera dan Op Kutip yang bermula pada 10 malam hingga 2 pagi membabitkan satu premis medan selera dan dua premis rumah kedai.

“Sebanyak 137 individu diperiksa dan 60 daripadanya ditahan terdiri daripada 17 lelaki dan 20 wanita warga Indonesia, 18 lelaki serta seorang wanita warga Myanmar, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan.

“Dalam serbuan pertama di sebuah medan selera di Jalan Cheras, sebanyak 16 warga asing ditahan manakala serbuan kedua di Pudu, 30 orang ditahan dan serbuan terakhir di sebuah rumah kedai di Jalan Raja Laut, berhampiran Chow Kit, kita menahan 14 pendatang tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut sama ada mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atau Seksyen 15(1) akta sama, mengikut kesalahan masing-masing.

Selain itu, satu Borang Imigresen 29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan