Dua Beranak Ditahan Kes Bunuh Pemandu e-Panggilan

08/07/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Polis menahan dua beranak selepas disyaki terlibat kes pembunuhan seorang pemandu e-panggilan yang dipercayai berhutang dengan mereka, di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, Ampang di Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata bapa dan anak lelakinya, masing-masing berusia 73 dan 36 tahun itu ditahan antara 26 hingga 28 Jun lepas, setelah bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat unsur jenayah.

Beliau berkata polis turut merampas rotan buluh dan playar boleh laras.

Polis menerima maklumat mengenai kematian lelaki berusia 37 tahun terbabit di kediaman kedua-dua suspek daripada petugas kesihatan Hospital Kuala Lumpur pada 7.16 petang, 22 Jun lepas.

Mohd Azam berkata anggota polis kemudian ke lokasi kejadian dan siasatan awal mengklasifikasikan kes  sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh.

“Selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Ampang dan laporan diperoleh pada 23 Julai lepas, didapati terdapat unsur jenayah, punca kematian mangsa adalah kerana jangkitan kuman pada otot disebabkan kecederaan pada kulit dan tulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek yang bekerja sendiri itu direman 14 hari bermula 27 Jun lepas hingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan