Kes Hina Naib Canselor: Bekas Presiden Umany Peroleh Kebenaran Merayu

10/07/2025 04:35 PM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman denda RM10,000 yang dikenakan terhadapnya kerana menghina bekas Naib Canselor universiti berkenaan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Wong memenuhi prasyarat yang diperlukan untuk kebenaran merayu diberikan.

Azman, yang mengetuai panel itu, berkata terdapat beberapa persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memerlukan hujahan lanjut.

Mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, rayuan daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Rayuan memerlukan kebenaran terlebih dahulu dan rayuan hanya boleh dibuat berkaitan persoalan undang-undang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi  semasa mendengar rayuan atau semakan daripada Mahkamah Majistret.

Pada Oktober 2023, Mahkamah Majistret mendapati Wong, 29, bersalah bagi kesalahan sengaja menghina Profesor Datuk Dr Abdul Rahim Hashim serta tetamu lain dengan mengadakan protes semasa majlis konvokesyen ke-59 Universiti Malaya (UM) meskipun mengetahui perbuatannya boleh mengganggu ketenteraman awam.

Dia telah dikenakan denda RM5,000.

Wong didakwa telah mencetuskan kekecohan semasa majlis itu apabila membawa sepanduk protes di atas pentas yang menuntut Abdul Rahim meletak jawatan sebagai Naib Canselor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu semasa Majlis Konvokesyen UM di Dewan Tunku Canselor  di sini pada 10 pagi 14 Okt 2019 mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Wong, yang kini adalah Timbalan Pengerusi Bersih, adalah lepasan UM dalam bidang kejuruteraan awam.

Pada prosiding hari ini, peguam Chong Yin Xin yang mewakili Wong mencadangkan tujuh persoalan untuk dipertimbang oleh mahkamah namun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir atas alasan ia bukan isu baharu.

Antara persoalan itu ialah sama ada pertuduhan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh adalah cacat dan tidak lengkap kerana tidak menyatakan perbuatan yang didakwa dalam pertuduhan sekali gus gagal memberikan notis yang mencukupi kepada tertuduh mengenai pertuduhan yang dihadapi sehingga mengakibatkan dia terjejas.

Wong juga diwakili peguam Chan Yen Hui dan Chong Kar Yan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan