Peniaga Kerugian RM829,705 Ditipu Sindiket Pelaburan Tidak Wujud

13/07/2025 03:43 PM

KLUANG, 13 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga yang juga pengarah sebuah syarikat perkakasan mengalami kerugian sebanyak RM829,705 setelah termakan janji manis sindiket penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun, pada mulanya terlihat iklan pelaburan tersebut di media sosial pada Mac lalu, yang menawarkan pulangan keuntungan yang tinggi.

Beliau berkata selepas berhubung dengan ‘ejen’ pelaburan terbabit, mangsa kemudiannya diminta untuk memuat turun aplikasi pelaburan bagi menyertai pelaburan itu.

“Susulan itu, antara 5 Jun hingga 9 Julai, mangsa telah membuat pembayaran ke dalam lima akaun bank yang berbeza secara berperingkat, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM829,705. Mangsa mendapati keuntungan berjumlah RM4,669,065.25 ditunjukkan dalam aplikasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Bahrin berkata mangsa diberitahu bahawa beliau perlu membuat pembayaran tambahan bagi membolehkan pengeluaran keuntungan yang dinyatakan.

Beliau berkata  setelah menyedari dirinya ditipu, mangsa telah membuat satu laporan polis pada Khamis, 10 Julai di Balai Polis Kluang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan