Tunda Ikan Di Luar Zon, APMM Tahan Vesel Nelayan Tempatan Bersama Lima Kru

16/07/2025 12:30 PM

JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama lima kru selepas didapati menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan, kira-kira 4.5 batu nautika tenggara Pulau Tinggi, Mersing semalam. 

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata tangkapan dibuat hasil rondaan yang dijalankan susulan aduan awam mengenai kehadiran sebuah vesel mencurigakan di kawasan larangan tersebut.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel itu menunda ikan dalam jarak kurang daripada lima batu nautika dari daratan, dan dipercayai dikendalikan oleh pihak ketiga yang bukan pemilik berdaftar.

“Siasatan awal mendapati, vesel terbabit bukan sahaja melanggar peraturan zon penangkapan, malah turut beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

"Ia turut dikendalikan individu selain pemilik asal, yang nerupakan satu pelanggaran jelas di bawah Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata lima kru lelaki tempatan, berusia antara 34 hingga 50 tahun, ditahan bagi membantu siasatan. Vesel bersama peralatan menangkap ikan turut dibawa ke Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan bahawa APMM akan terus memperketatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penangkapan ikan secara haram, khususnya yang melanggar zon yang ditetapkan.

“Kami menyeru komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Zon Mersing di 07-219 9404,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan