Polis Tumpas Sindiket Edar ‘Ibu Dadah’ Berpangkalan Di Utara

16/07/2025 06:21 PM

SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin base berpangkalan di utara dengan penahanan tiga lelaki dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 1.24 tengah hari hingga 3.35 petang itu, pihaknya turut merampas 47.526 kilogram (kg) dadah heroin base dan 920 gram heroin dianggar bernilai RM4.13 juta.

Beliau berkata lelaki pertama diberkas selepas polis menahan sebuah kereta jenis Mazda di tepi jalan USJ 19/4 Subang Jaya, Selangor dan pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin base dan heroin, seberat 14.52 kg dan 920 gram di dalam beg yang disorok pada ruangan khas di bahagian belakang tempat duduk penumpang kenderaan itu.

“Serbuan seterusnya di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor dan polis menahan suspek kedua  serta merampas dadah jenis heroin base seberat 22.55 kg di dalam premis itu.

“Suspek ketiga ditahan di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang dan hasil siasatan terhadapnya, polis memeriksa sebuah rumah di kawasan sama lalu menemukan dadah jenis heroin base seberat 7.456 kg,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata lelaki yang ditahan di Pulau Pinang merupakan dalang kepada sindiket itu, yang dipercayai aktif sejak awal tahun lepas dengan melakukan tugas mengambil dadah dari negara jiran sebelum menyerahkan kepada dua lagi lelaki.

Beliau berkata dua lelaki terbabit bertindak selaku ‘transporter’ atau ejen pengangkut dadah itu dari Pulau Pinang ke Lembah Klang dengan upah hingga RM4,000 bagi satu perjalanan.

“Mereka dipercayai kumpulan besar yang mengambil dadah dari negara jiran dan bawa masuk untuk diedarkan kepada kumpulan pengedar lain di utara dan Lembah Klang.

“Heroin base ini ‘ibu’ kepada dadah yang kemudiannya akan diproses menjadi dadah dalam pelbagai gred sebelum dijual pada harga lebih tinggi,” katanya.

Hussein berkata suspek pertama dan kedua direman hingga Khamis ini manakala suspek ketiga hingga Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan