SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan remaja lelaki warga Britain David Balisong, 17, sempat menghantar pesanan kepada keluarganya supaya tidak mencarinya sebelum dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pesanan itu dikesan menerusi e-mel dihantar remaja itu kepada ibunya pada 9 Julai.
"Antara kandungan e-mel itu ialah luahan Orang Hilang (Balisong) supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya.
"Selain itu, dia turut mendoakan kesemua ahli keluarga berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi e-mel itu, remaja berkenaan tidak menyatakan bila akan pulang kepangkuan keluarganya.
Hussein berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan enam individu termasuk ibu remaja itu, pemandu dan petugas kaunter bas, pekerja premis pertukaran wang asing dan anggota polis bagi membantu siasatan kes itu.
“Siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kali terakhir remaja itu dikesan adalah di lobi KL Sentral, Kuala Lumpur kira-kira 10.09 pagi, 7 Jun lepas.
"Setakat ini, tiada rekod remaja itu keluar dari negara ini dan usaha mencarinya sedang giat dilakukan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis menyiasat kehilangan seorang remaja berusia 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur, dan sejak itu telefon bimbitnya turut dimatikan serta tidak membalas e-mel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial