ALOR GAJAH, 18 Julai (Bernama) -- Seorang pekerja kedai menjual peralatan memancing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh anak kandung kekasihnya yang berusia 19 bulan awal bulan ini.
Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teo Shu Yee, dan tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi perempuan berkenaan di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang, Alor Gajah, sekitar 9 malam pada 6 Julai lepas.
Jika disabit kesalahan, Muhammad Isyraf boleh dihukum mati atau penjara tidak lebih 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh baharu bagi serahan laporan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 Sept depan untuk sebutan semula dan tidak membenarkan ikat jamin.
Menurut laporan media pada 7 Julai, sepasang kekasih disyaki membunuh bayi yang merupakan anak kandung wanita berkenaan dengan mendera mangsa pada malam sebelumnya.
Hasil pemeriksaan doktor di Hospital Tampin mendapati kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi berkenaan selain kecederaan di lubang dubur sebelum doktor membuat laporan polis sehingga kedua-dua suspek diberkas.
Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes judi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial