Lelaki Didenda RM6,000 Beri Maklumat Palsu Untuk Permohonan MyKad

18/07/2025 01:13 PM

KUANTAN, 18 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan atau MyKad untuk seorang kanak-kanak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2012.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman turut memerintahkan Abdah Said, 65, dipenjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Abdah didakwa memberikan maklumat palsu dalam butir material semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil kelahiran atas nama individu lain di kaunter JPN Pahang di sini kira-kira 9.49 pagi, 28 Sept 2012. 

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohammad Yusaini Yunan dan Penolong Pegawai Pendakwa Burhanuddin Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, warga emas itu memohon hukuman ringan kerana sudah berusia dan tidak bekerja dan tertuduh kemudian membayar denda berkenaan. 

Namun, Mohammad Yusaini memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dengan memberi dokumen anak sendiri untuk kepentingan diri.

Selain itu, beliau berkata ini juga bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya menyerahkan dokumen milik rakyat negara ini kepada orang asing untuk menuntut keistimewaan yang diperoleh warganegara Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan