KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga yang videonya tular kerana bertindak agresif dengan melibas parang terhadap anggota penguat kuasa semasa operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan, di sini, Selasa lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh Izat Saini @ Zaini, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penjawat awam selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Inspektor Fitri Farhan Wan Chik dan Koperal Mohd Harris Lingam di lokasi operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan niat untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di simpang tiga Jalan 4/76B, Desa Pandan, di sini, pada 11.17 pagi, 15 Julai lepas, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham, manakala peguam Fadhli Sutris mewakili Izat.
Majistret Amira membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Sept ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial