Pemuda Ditahan Tanam Bayi Di Kawasan Bukit Di Cameron Highlands

18/07/2025 07:45 PM

KUANTAN, 18 Julai (Bernama) -- Seorang pemuda ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di kawasan berbukit berhampiran rumahnya di Kampung Melayu Desa Kayangan, Brinchang, Cameron Highlands, semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata mayat bayi itu ditemukan kira-kira pukul 10 pagi oleh bapa suspek ketika melalui kawasan tangki air di belakang rumah mereka.

“Bapa suspek terlihat kawasan tanah yang seperti baru dikorek sebelum ternampak kain putih yang membaluti bayi itu, lalu menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di inap desa mengaku menanam bayi berkenaan yang baru dua hari dilahirkan oleh kakak tirinya yang berusia 21 tahun.

“Suspek turut menunjukkan lokasi dia menanam uri bersama bayi itu. Polis menahannya kira-kira pukul 5.30 petang di rumah dan merampas beberapa peralatan seperti cangkul dan penyodok yang digunakan untuk menggali tanah,” katanya.

Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan